Saturday, 5 August 2017

Kemahiran Asas Pengurus



 Kemahiran Asas Pengurus

1.                  Pengenalan
Kemahiran komunikasi adalah penting bagi seorang pengurus untuk mencapai matlamat organisasi. Menurut Koontz & Wiehrich (1992), pengurusan adalah satu proses merancang dan memelihara persekitaran di kalangan anggota kerja organisasi bagi tujuan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan bersama manakala Robbin (1996) menyatakan pengurusan ialah satu proses perlaksanaan dan koordinasi tugas yang bertujuan untuk mencapai matlamat organisasi. Pengurusan juga dikatakan sebagai proses perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan usaha-usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan semua sumber organisasi secara cekap dan berkesan bagi mencapai matlamat organisasi.
Menurut Griffin 2000, pengurus adalah orang yang merancang dan membuat keputusan, mengorganisasi, mengarah dan mengawal sumber manusia, kewangan dan maklumat. J.Penc (2000) pula berpendapat pengurus adalah orang yang ditugaskan untuk mengurus, memenuhi semua fungsi dan menggunakan semua atau sebahagian sumber-sumber untuk mencapai matlamat organisasi. Secara umumnya, pengurus ialah manusia (pekerja) yang mengelola manusia untuk melaksanakan tugasan yang selari dengan objektif sesebuah organisasi.

2.                  Konteks Organisasi
Menurut Ernie dan Kurniawan 2005, organisasi merupakan sekumpulan orang atau sekelompok yang memiliki tujuan tertentu dan berupaya untuk mewujudkan tujuannya tersebut melalui kerjasama. Organisasi yang dibincangkan dalam tugasan ini adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Terdapat tiga kemahiran asas pengurus dibincangkan berkaitan PDRM iaitu kemahiran teknikal, kemahiran kemanusiaan dan kemahiran konseptual. Kemahiran teknikal merupakan kefahaman dan kecekapan tentang kaedah dan proses tertentu dalam bidang yang khusus. Kemahiran ini dilihat daripada kepelbagaian Jabatan yang terdapat di dalam PDRM. Antaranya adalah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang ditugaskan khusus untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan lalulintas manakala Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti yang berperanan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang jenayah. Kemahiran ini juga merujuk kepada keupayaan dan kebolehan menggunakan pengetahuan, teknik, alat dan sumber. Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis telah diberi pendedahan berkaitan undang-undang sejak di Pusat Latihan Polis lagi. Hal ini menunjukkan pengetahuan yang dimiliki oleh seluruh warga PDRM. Selain itu, kebolehan menggunakan peralatan dilihat daripada penggunaan senjata api oleh warga PDRM. Latihan penggunaan senjata api yang berterusan diberikan dalam memastikan warga PDRM mahir menggunakan alat tersebut.
Kemahiran kemanusiaan merupakan kemahiran berkomunikasi dan memahami gelagat individu atau kumpulan dalam melaksanakan setiap aktiviti organisasi. Kemahiran ini dipraktikkan di dalam PDRM melalui kursus-kursus yang ditawarkan kepada warga kerja PDRM dan tatacara berkomunikasi di kaunter pertanyaan balai bersama pengadu, semasa membuat pemeriksaan serta ucapan salam di kalangan warga kerja PDRM. Kemahiran ini secara tidak langsung membentuk jalinan sosial dan interaksi di kalangan warga kerja PDRM. Ucapan salam yang dipraktikkan dilihat mampu merapatkan hubungan dan semangat esprit de corp di kalangan warga kerja PDRM.
Kemahiran konseptual yang merujuk kepada keupayaan untuk melihat organisasi secara keseluruhan termasuk memahami saling hubungan dan pergantungan antara bahagian atau unit dalam organisasi. Kemahiran ini dilihat daripada analisis jenayah dan operasi bersepadu yang dilakukan. Setiap data jenayah akan dikumpul dan disimpan untuk merancang operasi. Operasi bersepadu merupakan operasi yang melibatkan jabatan, cawangan dan Balai Polis di mana setiap kemahiran warga PDRM digabungkan dalam memastikan keberkesanan dan kejayaan operasi.

3.                  Kepentingan Kemahiran Asas Pengurus
Kemahiran asas pengurus terbahagi kepada tiga peringkat seperti berikut:

3.1       Kemahiran teknikal
            Pengurus perlu mempunyai kefahaman dan kecekapan tentang kaedah dan proses tertentu dalam bidang yang khusus seperti kaedah proses, teknik serta mengikut prosedur yang sedia ada. Kemahiran ini memerlukan latihan dan perlu dipupuk kepada anggota kerja yang terlibat. Selain itu, kemahiran ini menunjukkan keupayaan dan kebolehan pengurus menggunakan pengetahuan, teknik, alat dan sumber.
3.2       Kemahiran kemanusian
Kemahiran ini menunjukkan keperluan pengurus dalam menguasai kemahiran berkomunikasi dan memahami gelagat individu atau kumpulan dalam melaksanakan setiap aktiviti organisasi. Kemahiran berkomunikasi dititikberatkan komunikasi adalah penting dalam mencapai matlamat organisasi dan penyampaian mesej yang jelas dan tepat kepada anggota kerja. Pengurus juga perlu berkupayaan untuk membentuk jalinan sosial dan interaksi dengan individu dalam dan luar organisasi bagi mencapai hasil kerja yang disasarkan.

3.3       Kemahiran konseptual
Kemahiran ini menerangkan bahawa pengurus perlu mempunyai keupayaan untuk melihat organisasi secara keseluruhan termasuk memahami saling hubungan dan pergantungan antara bahagian atau unit dalam organisasi. Selain itu, pengurus juga seharusnya berani mendepani cabaran semasa dan menentukan hala tuju organisasi. Pengurus memainkan peranan yang penting dalam membangunkan organisasi dengan mencapai misi dan visi organisasi.
           
4.                  Kesimpulan
Oraganisasi PDRM mengamalkan ketiga-tiga kemahiran asas pengurus dalam mencapai misi dan visi organisasi. Ketiga-tiga kemahiran diterapkan ke dalam PDRM dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan PDRM mencegah dan menbendung jenayah. Hal ini menunjukkan keberkesanan pengurusan PDRM. Dalam mewujudkan hubungan yang erat dan kerjasama, PDRM menitikberatkan aspek komunikasi di kalangan warga kerja PDRM dan masyarakat. Kursus-kursus yang ditawarkan dan latihan yang berterusan mampu meningkatkan kemahiran warga kerja PDRM dalam menghadapi cabaran yang semakin mencabar di masa hadapan.


Rujukan
Mustaffa, C. S., Othaman, M. B., Jalil, N. M., & Hussein, M. H. (2009). SCCG3143
       Kemahiran Komunikasi Kepengurusan. Pengajian Luar Kampus Pusat Pendidikan
       Profesional dan Lanjutan PACE Universiti Utara Malaysia. P 1-4

Kechot, A. S. (2013). Menangani Ruang Budaya: Peranan Pengurus Sebagai Penyebar
       Maklumat Bagi Istana Budaya, Kuala Lumpur . GEOGRAFIA Online™ Malaysia Journal of
       Society and Space. Jilid 9 (1), 70-78. Retrieved from http://www.ukm.my/geografia/
       images/upload/8.geografia-jan%202013-kechot-edam(70%20-78).pdf

Azman, I. (2015, June). Hubungan Antara Peranan Pengurus dalam Program Kerjaya dengan
       Pembangunan Kelakuan Proaktif Pekerja. The Committee on Publication Ethics (COPE).
       Vol 5 (1), 81-100. Retrieved from http://www.gjat.my/gjat062015/8120150501.pdf

Prof. Madya Sauli, Z. (n.d.). Kemahiran Komunikasi Dalam Pengurusan Organisasi Dan
       Perundingan Yang Berkesan. Pencetus Warisan Minda. Pp 13. Retrieved from
       http://dspace.unimap.edu.my/xmlui/bitstream/handle/123456789/1680/
       Kemahiran%20Komunikasi%20dalam%20Pengurusan%20Organisasi%20Dan%20
       Perundingan%20Yang%20Berkesan.pdf?sequence=1

Awang, A. H., Hamzah, A., & Ismail, R. (2003, 12-13 Sept). Penguasaan Kemahiran Bolehkerja
       Dikalangan Pelatih ILP Dan IKM. Prosiding Persidangan Kebangsaan Pusat Pengajian
       Sosial, Pembangunan & Persekitaran "Cabaran Pembangunan Dilema Persekitaran".
       Retrieved from http://www.ippbm.gov.my/jdownloads/kertaskerja/penguasaan-
       kemahiran-bolehkerja-di-kalangan-pelatih-ilp-dan-ikm.pdf

No comments:

Post a Comment

Analisis S.W.O.T Organisasi Z

1.             Pengenalan Analisis S.W.O.T adalah sebuah analisa yang dicetuskan oleh Albert Humprey pada 1960-1970an. Analisa ini me...