Saturday, 24 February 2018

Media Sosial Dalam Kumpulan Kerja



1.            1. Pengenalan
Media sosial merupakan satu fenomena komunikasi yang mendapat sambutan dan semakin popular di dunia Internet pada masa kini. Perkembangan daripada Internet dan teknologi telefon bimbit membolehkan media sosial berkembang pesat di kalangan masyarakat. Dalam era kini, media baharu dilihat lebih dominan berbanding dengan media tradisional seperti media cetak, media elektronik, media siaran, dan media interpersonal yang lain. Oleh sebab itu, bentuk masyarakat pada era ini juga turut menyaksikan perubahan terutamanya dalam pengguna media sosial. Media sosial disifatkan mempunyai kemampuan yang hebat kerana hasil gabungan tiga elemen utama iaitu teknologi, perbualan, dan perkongsian maklumat.
Menurut Kaplan & Haenlein (2010), media sosial ditakrifkan sebagai sekumpulan aplikasi internet yang dibina berasaskan ideologi dan teknologi Web 2.0 yang membenarkan penghasilan dan perkongsian bahan-bahan yang dijana oleh pengguna. Dalam erti kata lain, media sosial sebagai alat perkongsian dan penyebaran maklumat di kalangan pengguna. Media juga merupakan satu mekanisme perhubungan yang kuat kerana ia boleh memberi impak yang sangat besar dalam aspek kehidupan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (Tata Etika Penggunaan Media Sosial Oleh Warga KKM, 2016) menyatakan media sosial merujuk kepada sejenis saluran komunikasi dalam talian yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan mudah secara bebas, berkongsi dan membincangkan maklumat dengan menggunakan gabungan elemen-elemen multimedia yang terdiri daripada teks, gambar, video dan audio. Oleh sebab itu, tidak hairanlah kenapa media sosial digemari oleh ‘netizen’ kerana media ini menjanjikan keseronokan dan kebebasan dalam pelbagai aspek.

2.         Kepentingan Media Sosial
2.1       Kepentingan tugas
Perkembangan teknologi yang pesat memerlukan masyarakat masa kini agar terus bergerak selari dengan kemajuan yang ada. Oleh itu, sudah menjadi kemestian masyarakat mengaplikasi teknologi yang ada dalam suasana kerja. Teknologi media baharu ini menyaksikan semakin ramai yang terlibat dalam dunia siber dengan pelbagai cara dalam pelbagai peranan dan tanggungjawab (Siti Ezaleila, 2013). Contohnya dalam organisasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), penggunaan media sosial telah dipupuk dalam penugasan seharian bagi memastikan kesesuaian dan kelancaran tugas. Semua warga kerja PDRM digalakkan menguasai media sosial yang ada khususnya aplikasi ‘WhatsApp’ untuk menghantar laporan awal atau pertama kepada pucuk pimpinan PDRM.

2.2       Merapatkan hubungan
Menurut Boyd dan Ellison (2007), individu yang menggunakan laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Myspace secara tidak langsung telah mewujudkan dan mengekalkan hubungan komunikasi antara satu sama lain. Jesteru itu, komunikasi adalah penting dalam mana-mana hubungan. Dengan berlakunya komunikasi dua hala, perkongsian maklumat dan rasa kepercayaan di antara kedua-dua pihak akan berlaku. Hal ini merupakan aspek psikologi. Contohnya, apabila rakan pejabat tidak menerima permohonan berkawan daripada kita di aplikasi ‘Facebook’, akan lahir fikiran-fikiran negatif seperti beranggapan orang tersebut sombong, berdendam dengan kita dan lain-lain lagi. Hal ini mampu menjejaskan komunikasi dalam kumpulan kerja sesebuah organisasi.

2.3       Aspek keagamaan
Umar dan Samsudin (2010) mendapati masyarakat Islam menggunakan Internet untuk mencari maklumat berkaitan dengan isu-isu agama Islam seperti hukum-hakam, urusan menunaikan haji dan umrah, isu-isu semasa dalam Islam dan dunia Muslim, sejarah atau sirah Nabi dan mendapatkan nasihat mengenai jodoh serta tafsiran hukum Islam. Selain itu, Internet juga dijadikan sumber untuk mempelajari lebih banyak mengenai Islam seperti untuk mencari maklumat tentang kepercayaan agama, amalan serta perayaan keagamaan sebagai sumber maklumat keagamaan. Contohnya page Al Quran yang terdapat dalam aplikasi ‘Facebook’. Page ini berkongsikan maklumat dan video berkaitan agama dimana Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid mengesyorkan page tersebut kepada jemaah-jemaah masjid dalam perkongsian ilmu agama.

2.4       Mendapatkan Maklumat
Perkembangan teknologi, khususnya berkaitan dengan media memberikan impak yang cukup besar dalam industri penerbitan akhbar di negara ini. Sejak dekad 1980-an dan 1990-an, teknologi yang berkembang dari semasa ke semasa telah berjaya menggabungkan sifat-sifat telekomunikasi konvensional yang bersifat ‘massive’ dengan teknologi komputer yang bersifat interaktif. Kemunculan pelbagai saluran yang lebih interaktif melalui teknologi Internet telah mendorong berlakunya migrasi dalam kalangan khalayak, khususnya dalam konteks pengaksesan maklumat. Oleh sebab itu, peranan media konvensional sebagai platform penyampaian maklumat kepada khalayak sejak sekian lama kini berhadapan dengan persaingan daripada media baharu.
Pertumbuhan akhbar digital yang sangat pesat memberikan kesan langsung yang drastik terhadap trend jualan akhbar bercetak. Antara akhbar digital yang popular di Malaysia adalah Malaysiakini, The Star Online, Harian Metro Online, Berita Harian Online dan lain-lain lagi.
Menurut daripada laporan ‘The Digital News Report 2017’, pengguna Internet di Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi ‘WhatsApp’ terbanyak di dunia iaitu sebanyak 51 peratus untuk mendapatkan berita semasa dan sebanyak 77 peratus untuk kegunaan lain.  Aplikasi  ‘Facebook’ pula mencatatkan penggunaan sebanyak 58 peratus untuk mendapatkan berita dan 74 peratus untuk kegunaan lain. Jumlah ini menunjukkan media sosial di Malaysia adalah penting terutamanya dalam mendapatkan maklumat dan informasi yang terkini.

3.         Kesan Negatif Media Sosial
3.1       Anti sosial
Dengan pemasangan rangkaian sosial dan aplikasi pesanan mudah alih seperti Whatsapp, WeChat, Line dan banyak lagi, individu akan menjadi lebih tertarik kepada telefon pintar mereka. Dalam konteks tempatan, hasil kajian oleh Mahmud dan Omar (2013) mendapati lima motif utama penggunaan Facebook iaitu merasa hebat berteman, menghiburkan, mengekalkan hubungan, mencari maklumat dan menyertai komuniti maya. Motif menghiburkan dianggap sebagai penyumbang yang dominan dalam menerangkan jumlah masa penggunaan dan bilangan kenalan dalam Facebook. Hal ini menyebabkan situasi anti sosial dimana sekumpulan individu duduk semeja tetapi masing-masing khusyuk menatap telefon pintar di tangan mereka.
Situasi berbual mesra bersama rakan semeja tidak lagi dipraktikkan kerana kelalaian dengan gadget masing-masing melayari media sosial. Contohnya, artikel Sinar Online (2014, 1 November) yang bertajuk gadjet punca gen ‘Y’ anti sosial. Artikel ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat tentang keburukkan gadjet sehingga menyebabkan generasi baru anti sosial.

4.         Kesimpulan
Media sosial menawarkan berbagai kebaikan daripada pelbagai aspek dalam kehidupan seharian. Dengan adanya media sosial, kerja-kerja telah dipercepatkan, hubungan silaturahim dieratkan dan maklumat-maklumat  diperluaskan. Selain itu, kos bagi melayari media sosial yang sangat rendah dan kepantasan maklumat menjadikan saluran ini sebagai pilihan ramai pada masa kini. Tidak dapat dinafikan pengguna media sosial akan terus mengalami perkembangan dari masa ke semasa selaras dengan keperluan dan kehendak dalam dunia siber yang serba canggih.
Kesan negatif yang sering diperkatakan mengenai media sosial adalah tidak releven. Hal ini kerana kesan-kesan negatif yang sering dikaitkan dengan media sosial adalah kerana sikap dan mentaliti pengguna itu sendiri. Media sosial merupakan satu medium komunikasi yang dicipta untuk membawa faedah dan kebaikan kepada sejagat.

Rujukan
Mustafa, S. E., (2013). Media sosial di Malaysia dan Indonesia: Penggunaaannya sebagai alat komunikasi, kolaborasi dan jaringan digital. Jilid 15, Bil.2, Pp 71-85. Diakses daripada http://umijms.um.edu.my/filebank/published_article/6796/06JPMM%202013_No_2.pdf

Kaplan, A. M., & Haenlein, M. (2010). Users of the world, unite! The challenges and opportunities of Social Media. Business horizons, 53(1), 59-68. Diakses daripada http://michaelhaenlein.com/Publications/Kaplan,%20Andreas%20-%20Users%20of%20the%20world,%20unite.pdf

Boyd, D. M., & Ellison, N. B. (2008). Social Network Sites: Definition, History, and Scholarship. Journal of Computer-Mediated Communication, 13, 210-230. Diakses daripada http://www.ifs.tuwien.ac.at/~dieter/teaching/GmA/Boyd2008a.pdf

Mahmud, M. Z., & Omar, B. (2013). Motif dan kekerapan penggunaan Facebook dalam kalangan pelajar universiti. Malaysian Journal of Communication, 29 (1), 35-54. Diakses daripada http://www.ukm.my/jkom/journal/pdf_files/2013/V29_1_35-54.pdf

The Reuters Institute Digital News Report. (2017). Diakses daripada http://www.digitalnewsreport.org/survey/2017/malaysia-2017/

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2016). Tata etika penggunaan media sosial oleh warga kkm. Diakses daripada http://www.moh.gov.my/penerbitan/Garis%20Panduan/[WEB]%20Tata%20Etika%20Media%20Sosial.pdf

No comments:

Post a Comment

Analisis S.W.O.T Organisasi Z

1.             Pengenalan Analisis S.W.O.T adalah sebuah analisa yang dicetuskan oleh Albert Humprey pada 1960-1970an. Analisa ini me...